header text

header text

KERINTANGAN ANTIMIKROB DI MALAYSIA: MENGAPA KITA PERLU BIMBANG

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Januari 2022 -Penyakit berjangkit pada masa ini merupakan punca utama ketidakupayaan dan kematian di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati jangkitan saluran pernafasan, penyakit cirit-birit, HIV/AIDS dan malaria berada dalam sepuluh penyebab utama kepada ketidakupayaan dan kematian manusia.

SAVE 20220110 154416

Menurut Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Habsah Hasan, kemunculan mikroorganisma rintang (resistant) antimikrob telah menyumbang dengan ketara kepada permasalahan ini. 
 
"Kerintangan antimikrob tidak terhad kepada bakteria, tetapi berlaku dalam kalangan virus dan kulat. Kerintangan juga boleh berlaku secara semula jadi atau diperolehi selepas pendedahan kepada risiko untuk menjadi rintang. 
 
"Kerintangan antimikrob boleh berlaku terhadap satu kumpulan antimikrob, pelbagai kumpulan bahkan juga terhadap kesemua kumpulan antimikrob," ujarnya ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM, hari ini. 
 
SAVE 20220110 154432
 
Tambah Habsah, terdapat dua  mekanisme penting penyebab kemunculan mikroorganisma yang rintang kepada antimikrob. 
 
"Pertama, mikroorganisma terdedah kepada kepekatan antimikrob yang suboptimal (subinhibitory) dan kedua, pembunuhan selektif mikroorganisma yang rentan (susceptible) dan menggalakkan pembiakan mikroorganisma yang rintang antimikrob. 
 
"Pendedahan kepada kepekatan antimikrob yang subinhibitory iaitu kepekatan yang rendah tidak dapat merencat mikroorganisma dan boleh menghasilkan mikroorganisma yang lebih ganas (virulent) dan rintang kepada antimikrob tersebut melalui mutasi gen," jelasnya lagi. 
 
SAVE 20220110 154440
 
Beliau berkata, populasi mikroorganisma ini akan membiak dan menular menjadi jangkitan yang lebih serius dan sukar dirawat. 
 
Habsah turut menjelaskan bahawa  pembunuhan selektif mikrorganisma yang rentan menyebabkan mikroorganisma yang rintang menjadi dominan dan membiak dengan cepat. 
 
"Keadaan ini berlaku apabila pesakit diberikan antimikrob berspektrum luas seperti carbapenem untuk membunuh bakteria termasuk bakteria komensal yang bermanfaat kepada tubuh manusia. 
 
"Perkara ini biasanya berlaku di hospital kerana pesakit perlu mendapat rawatan segera dan doktor tidak dapat menjangkakan status kerentanan mikroorganisma tersebut.  
 
"Pilihan jenis antimikrob ini terpaksa dibuat untuk menyelamatkan nyawa pesakit sementara menunggu keputusan identifikasi dan kerentanan antimikrob mikroorganisma penyebab yang mengambil masa tiga (3) hari," ujarnya. 
 
Menurut Habsah, antimikrob juga digunakan di ladang penternakan secara berleluasa dan meningkatkan kemunculan mikroorganisma yang rintang antimikrob dengan menghuni usus haiwan tersebut. 
 
"Ia juga boleh mencemari sumber air melalui najis-najis haiwan selain turut mencemari makanan yang terdiri daripada daging dan telur haiwan tersebut kerana mikroorganisma boleh memindahkan gen rintang kepada mikroorganisma lain di persekitaran dan manusia. 
 
"Antara langkah yang telah diambil untuk menangani masalah ini ialah menyekat penggunaan antimikrob secara tidak terkawal dengan cara menghalang penjualan antimikrob di kaunter farmasi," katanya. 
 
Selain itu, masyarakat perlu diingatkan supaya patuh kepada arahan pengambilan antimikrob melalui pendidikan kesihatan yang berterusan. 
 
"Aktiviti surveilan kerintangan antimikrob di hospital dan komuniti perlu sentiasa dijalankan untuk melihat tahap keseriusan masalah ini. 
 
"Pendidikan berterusan dan pengawalan penggunaan antimikrob yang betul merupakan kunci kepada kawalan kemunculan mikroorganisma rintang ini," ulas Habsah lanjut. 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 28 Mei 2023.
Jumlah Pengunjung
4005801