PERSIDANGAN KHUAM: MEDAN PERKONGSIAN ILMU ANTARA AKADEMIA, PAKAR DAN PENGAMAL PERUBATAN BERHUBUNG PANDEMIK COVID-19

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Mac 2021 – Persidangan Kebangsaan kali ke-3 Pusat Perubatan Akademik (3rd KHUAM Conference) merupakan medan perbincangan, perkongsian dan pertukaran maklumat terkini dalam bidang yang berkaitan antara akademia, pakar penyelidik tempatan dan pengamal perubatan.

Persidangan yang diadakan secara maya ini mengangkat tema ‘Health System Resilience During The COVID-19 Pandemic’ mengambil kira cabaran semasa yang dialami oleh negara dan seluruh dunia yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19. 

SAVE 20210322 192156

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata, sejak tahun 2020, dunia mula menghadapi krisis besar sehingga mengancam nyawa rakyat iaitu COVID-19 yang merupakan satu krisis kesihatan di peringkat global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“COVID-19 adalah virus corona yang baharu dan pada ketika itu badan-badan kesihatan dunia tiada pengalaman dalam menangani virus tersebut dan penularannya telah mengakibatkan krisis kesihatan sedunia pada skala yang besar dan Malaysia tidak terkecuali menerima kesan wabak COVID-19 dengan lebih 300,000 orang telah dijangkiti virus ini.

“Malaysia kini seperti negara-negara lain di seluruh dunia sedang bergelut untuk membendung COVID-19 dan pelbagai usaha daripada pihak kerajaan mahupun swasta sedang giat dilaksanakan untuk mengendalikan pandemik ini. Dalam hal ini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Hospital Pengajar Universiti (HPU) di Universiti Awam telah berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak dari awal penularan wabak ini termasuk pelaksanaan ujian saringan COVID-19, perawatan pesakit dan pemberian vaksin COVID-19,” ujarnya.

Menurut Noraini, usaha dan sokongan HPU kepada KKM masih lagi diteruskan untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini pada tahun 2021 dan beliau sangat mengalu-alukan persidangan yang berkaitan dengan wabak ini dilaksanakan.

“Persidangan kali ini amat besar ertinya kerana ia melibatkan pembentangan kertas kerja oleh barisan akademia dan pakar-pakar perubatan dan pastinya memberi peluang kepada para peserta menimba lebih banyak ilmu pengetahuan terutama dalam konteks amalan norma baharu sistem perubatan dan kesihatan negara.

“Pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi cabaran hebat kepada sistem kesihatan negara tetapi mewujudkan cabaran dalam protokol operasi standard, mengganggu rantaian bekalan perubatan dan menyebabkan kekurangan bekalan kritikal serta kesulitan mengimbangi keperluan pesakit rutin terhadap tekanan segera yang disebabkan oleh peningkatan pesakit COVID-19,” jelasnya lagi.

Noraini berkata, HPU perlu mengambil pengajaran daripada wabak yang sedang melanda dengan keterlibatan di dalam kajian dan penyelidikan berkaitan COVID-19 kerana pada masa ini, pelbagai langkah telah dilakukan dalam sistem penyelidikan negara untuk menghadapi krisis tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk memikirkan sistem daya tahan kesihatan ini dapat berkembang ke tahap yang lebih baik supaya dapat bertahan daripada sebarang kemungkinan kejutan dalam sektor kesihatan dan bersiap sedia untuk mengharungi sebarang keadaan yang tidak dapat dijangka pada masa hadapan.

“Oleh itu, saya percaya dengan adanya kerjasama dan sinergi dalam kalangan HPU, kita mampu untuk menghasilkan penyelesaian yang pintar dan inovatif bagi memastikan keselamatan, kelestarian di samping ketahanan dalam sistem kesihatan negara adalah terjamin,” jelasnya lagi.

Selain itu, Noraini turut berharap agar hasil persidangan ini akan memberi nilai tambah kepada sektor kesihatan sedia ada dan hala tuju pengendalian pandemik COVID-19 khususnya dalam kalangan HPU dan sektor kesihatan awam serta swasta di Malaysia amnya.

Persidangan selama dua hari yang telah menarik penyertaan lebih 400 peserta ini adalah anjuran Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) dan Universiti Sains Malaysia  mengetengahkan perkongsian ilmu daripada akademia seperti Presiden Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Asma Ismail, FASc; mantan Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Rohaizat Yon dan ramai lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 11 April 2021.
Jumlah Pengunjung
2055606