VAKSIN COVID 19 ADALAH KEPERLUAN UNTUK FRONTLINERS: CHONG YONG

USM, KUBANG KERIAN, 4 Mac 2021 – “Adalah menjadi satu keperluan kepada semua petugas barisan hadapan (frontliners) mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri sendiri dan masyarakat sekeliling terutamanya ketika menjalankan tugas,” demikian kata Pegawai Sains, Ang Chong Yong.

ce2bc11f 471f 453a a480 325f692d011b

Chong Yong, 58, yang bertugas di Makmal Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) berasa sangat gembira kerana terpilih untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dan menyifatkan perkara itu sebagai kewajiban bagi dirinya yang juga penghidap penyakit kanser serta darah tinggi.

“Walaupun saya tidak bertugas secara terus atau bersemuka dengan pesakit, namun bertanggungjawab menguruskan sampel pesakit yang dihantar ke makmal dan hal ini menyebabkan saya memilih untuk divaksinasi.

“Saya langsung tidak merasa sakit ketika disuntik vaksin seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini serta proses yang perlu dilalui juga mengambil masa yang singkat.” ujarnya.

Menurut Chong Yong, beliau sangat berpuas hati dengan proses suntikan yang dijalankan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital USM kerana mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Beliau turut menasihati semua rakyat Malaysia agar menggunakan peluang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan dengan sebaik mungkin demi kebaikan diri sendiri dan masyarakat sekeliling supaya suatu hari nanti kita dapat menikmati kebebasan seperti dahulu.

Sementara itu, Pembantu Perawatan Kesihatan, Ibrahim Mat Nor, 57, yang ditemui meluahkan rasa syukur dan bangga kerana diberi peluang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada peringkat awal.

696ba35b d7a1 4e38 8f41 2fcac752b05d

Beliau yang bertugas di Jabatan Radiologi, Hospital USM memilih untuk divaksinasi kerana tugas beliau berhadapan dengan pesakit secara terus setiap hari.

“Setiap hari saya melihat keperitan pesakit yang dijangkiti COVID-19 menanggung kesakitan akibat virus yang menjangkiti mereka, jadi amat wajar sebagai rakyat Malaysia, tidak kira barisan hadapan atau tidak untuk menerima suntikan vaksin supaya ia dapat membantu memutuskan rantaian wabak ini daripada terus merebak,” katanya.

Ibrahim turut menyeru masyarakat yang masih ragu-ragu dengan suntikan vaksin COVID-19 agar mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang tepat atau bertanyakan pengalaman mereka yang telah menerima vaksin untuk mendapatkan kepastian.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 11 April 2021.
Jumlah Pengunjung
2055520