KENALI PUNCA SAKIT LUTUT DAN RAWATAN BERSESUAIAN UNTUK TINGKATKAN KUALITI HIDUP

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Mac 2021 -  Sendi lutut adalah satu sendi kompleks yang membantu dalam pergerakan anggota bawah seseorang disebabkan oleh pelbagai punca mengikut kategori usia.

Bagi golongan muda, sakit lutut biasanya disebabkan oleh kecederaan sukan atau kemalangan yang boleh mencederakan ligamen, meniscus atau tulang rawan manakala bagi golongan yang berusia atau warga emas pula, sakit lutut biasanya disebabkan oleh penghausan tulang rawan dikenali sebagai ‘Osteoartritis’.

sakit lutut

Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Bedah Ortopedik, Jabatan Ortopedik , Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Muhammad Rajaei Ahmad@Mohd Zain, Osteoartritis biasa berlaku kepada sendi lutut dan sendi paha kerana sendi ini adalah sendi utama yang memikul berat badan dan impak semasa aktiviti harian seseorang.

“Osteoartritis dikategorikan kepada dua (2) jenis iaitu primer dan sekunder serta penyakit ini bergantung kepada risiko tidak boleh ubah dan boleh ubah.

“Risiko tidak boleh ubah terdiri daripada umur, jantina dan faktor genetik, manakala faktor boleh ubah pula seperti obesiti, trauma, pergerakan harian dalam aktiviti pekerjaan dan sebagainya,” jelasnya ketika ditemubual dalam Slot Sembang Sihat di Radio Kelantan FM, baru-baru ini.

Tambah Rajaei, tanda-tanda mengalami sakit lutut biasanya merasa ketat pada bahagian lutut terutamanya 30 minit pada waktu pagi.

“Sakit lutut yang kronik akan kelihatan pada fizikal seseorang apabila terasa amat sakit, keterbatasan dalam melakukan sebarang aktiviti atau lebih teruk lagi mengalami kebengkokan sendi yang kebiasaannya berlaku pada tahap yang teruk.

“Kaedah rawatan sakit lutut pula terbahagi kepada dua iaitu rawatan tanpa ubat seperti fisioterapi dan kaedah mengurangkan berat badan dengan mengamalkan pengambilan makanan secara sihat manakala kaedah pengambilan ubat dan suntikan pula adalah bagi mengurangkan rasa sakit atau keradangan pada sendi lutut yang disifatkan sebagai penyembuh sementara,” ujarnya lagi.

Selain itu, menurut Rajaei, rawatan melalui kaedah pembedahan akan disyorkan jika simptom tidak dapat dikawal oleh kaedah - kaedah lain.

“Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan melalui ujian imbasan sinar-X (X-ray) atau MRI untuk melihat tisu lembut lutut atau otot dan pengambilan sampel darah juga boleh dilakukan bagi memastikan diagnosis yang tepat.

“Diagnosis yang tepat tentang sakit lutut adalah penting untuk mendapatkan kaedah rawatan yang sesuai bagi memastikan kualiti kehidupan terjamin walaupun di usia emas,” jelasnya lanjut.

Teks: Abdul Aziz Latif

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Ahad 11 April 2021.
Jumlah Pengunjung
2055545