BUAT KAKI PALSU, ASAL DARI MINAT KINI JADI PENGALAMAN BERHARGA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Februari 2021 – Anggota palsu atau prostesis merupakan bahagian badan tiruan bagi menggantikan bahagian tubuh yang hilang, sama ada disebabkan oleh kemalangan, penyakit atau kecacatan sejak dilahirkan.

Kemahiran dalam membuat kaki palsu tidak diminati dan dimiliki oleh semua orang. Ini kerana proses pembuatannya yang agak panjang dan rumit. Namun ianya bukanlah sesuatu yang susah dan mustahil bagi individu bernama Zolkifli Jusoh, 55, seorang Juruteknik Perubatan (Prostetik & Ortotik) di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Minat dan keinginan membantu golongan kurang bernasib baik mendorong beliau mendalami cara-cara pembuatan kaki palsu sehingga kemahirannya itu kini dikongsi dengan staf-staf lain di unit tersebut.

zol2

Bagi Zolkifli, walaupun sudah 35 tahun berkhidmat, beliau tidak pernah merasa jemu membuat kaki palsu untuk pesakit Hospital USM sebaliknya menganggap setiap pesakit yang dirujuk kepadanya sebagai pembawa rezeki untuk beliau mempelajari ilmu baharu dalam pembuatan kaki palsu.

“Saya mendapat ilmu baharu setiap kali membuat penilaian terhadap pesakit untuk diaplikasikan dalam menghasilkan kaki palsu yang diperlukan mengikut kesesuaian pesakit.

“Bukan sahaja dari segi saiz, jenis kecacatan malahan penilaian juga dibuat berdasarkan kemampuan kewangan pesakit untuk membiayai kaki palsu tersebut selain bertujuan mengembalikan semula imej dan keyakinan diri untuk kelangsungan hidup mereka,” ujarnya.

zol

Zolkifli yang mula melapor diri di Hospital USM sebagai Juruteknik Rendah Perubatan pada 15 Ogos 1985 adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai asas dalam pembuatan kaki palsu, namun beliau tidak pernah berputus asa dan perlahan-lahan mempelajari selok-belok sehingga mahir dalam bidang berkenaan.

“Bermula dengan membuat penilaian ke atas pesakit, merekod maklumat, mengukur untuk membina acuan, menilai semula keadaan pesakit berdasarkan acuan yang dibuat sekiranya perlu pengubahsuaian bergantung kepada saiz pemakai, menghasilkan prostesis akhir sehingga kepada proses mencuba kepada pemakai semuanya dihasilkan sendiri di Hospital USM.

“Proses menghasilkan prostesis mengambil masa yang lama, kerana ketelitian amat diperlukan agar kaki palsu yang dihasilkan menepati saiz, tidak mengakibatkan kesakitan dan komplikasi serta memberi keselesaan kepada pemakai,” ulas Zolkifli lanjut.

Kemahiran yang dimiliki, digunakan Zolkifli sebaiknya untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya asnaf yang memerlukan kaki palsu.

zol1

“Alhamdulillah, ramai yang mendapat manfaat daripada kemahiran saya ini dan saya semakin seronok apabila melihat mereka tersenyum selepas mendapat kaki palsu malah ada yang menangis apabila boleh berjalan serta bekerja semula bagi menyara keluarga.

"Jujurnya, itulah kepuasan yang saya rasakan, kerana dengan kesempurnaan anggota dan ilmu yang Allah kurniakan kepada saya, dapat saya gunakan untuk membantu insan yang memerlukan dan saya akan terus berada dalam bidang ini untuk menghasilkan lebih banyak inovasi kaki palsu untuk masa hadapan," katanya.

Kemahiran yang dimiliki Zolkifli mendapat pengiktirafan buat kali pertama apabila memenangi Anugerah Inovasi MAMPU peringkat Nasional bagi projek Anggota Palsu Khas (APK) dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada tahun 1997 yang disertai bersama rakan - rakan menerusi kumpulan ICC Perpaduan.

Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang ada, Zolkifli bersama anggota kumpulan ‘Rehab Charger’ sekali lagi mendapat Anugerah Emas di Konvensyen KIK Yokohama, Jepun pada tahun 2011 dengan projek tongkat tiga (3) dalam satu (1) ‘Ezi Crutch’.

zol3

Sebagai seorang staf ‘senior’, Zolkifli tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada. Beliau yang kini diberi mandat untuk mengurus dan mengetuai Bahagian Prostetik & Ortotik, Unit Perubatan Pemulihan Hospital USM banyak menghabiskan masa dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada staf-staf baharu untuk membuat kaki palsu yang baik mengikut teknik serta cara yang betul.

“Ilmu dan kemahiran yang ada akan saya kongsikan agar staf-staf baharu dapat meneruskan legasi dan mampu menghasilkan kaki palsu yang lebih baik apabila saya bersara nanti.

“Saya berharap agar bidang prostetik dan ortotik ini akan terus berkembang mengikut kemajuan teknologi terkini kerana saya percaya setakat ini kaki palsu yang dihasilkan di Hospital USM adalah yang paling murah dalam pasaran di Malaysia,” jelasnya lagi.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini juga turut berharap agar Bahagian Prostetik & Ortotik Hospital USM terus menjadi rujukan masyarakat terutama di Pantai Timur kerana Hospital USM merupakan satu-satunya hospital kerajaan di Pantai Timur Malaysia yang mempunyai bengkel penghasilan prostetik dan ortotik.

Bercerita mengenai pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di Bahagian Prostetik & Ortotik Hospital USM, Zolkifli yang bakal bersara pada penghujung April 2021 memberitahu, semangat setiakawan dan silaturrahim yang terjalin antara staf tanpa mengira gred jawatan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan secara berpasukan sentiasa tersemat utuh di sanubari beliau.

“Saya bersedia untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran yang saya miliki dalam menghasilkan prostesis sekiranya dipanggil untuk memberi penerangan kepada staf pelapis walaupun sudah bersara nanti.

“Ilmu untuk dikongsi, bukan untuk disimpan seorang diri,” katanya mengakhiri sesi temubual.

 

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 04 Mac 2021.
Jumlah Pengunjung
1956465