SOKONGAN PSIKOSOSIAL BANTU MANGSA TRAUMA PULIH

KOTA BHARU, KELANTAN, 17 Januari 2021 - Kesihatan psikososial adalah komponen penting untuk pembentukan kendiri yang positif dan mampu berfungsi secara baik dalam kelangsungan hidup serta perhubungan sosial.

Sokongan psikososial membantu individu dan keluarga mangsa untuk menyembuhkan keadaan psikologi yang rapuh serta membina semula struktur sosial dalam persekitaran mangsa setelah menjadi mangsa jenayah dan penting untuk membantu mangsa mengelak menjadi mangsa sekali lagi.

Menurut Pakar Kriminologi dan Psikologi, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat, sokongan psikososial dapat membantu mengubah mentaliti dan keadaan diri mangsa jenayah kepada survivor atau pemandiri yang mampu berdikari.

“Sokongan psikososial boleh merangkumi kaunseling kesihatan mental, pendidikan, sokongan rohani, sokongan kumpulan, sokongan emosional, nasihat praktikal, nasihat undang-undang, bantuan kewangan kecemasan, peneman di hospital atau di mahkamah untuk membantu mangsa dan ahli keluarga mengatasi dan pulih setelah berlaku trauma.

971b2348 2649 47ca 9e65 8ae2bb9a94cf

“Antara kes-kes jenayah yang dimaksudkan ialah kes di mana mangsa mengalami kecederaan fizikal atau trauma. Lazimnya jenayah kekerasan atau ganas seperti rogol, penderaan, penculikan, ugutan dicederakan atau dibunuh, keganasan rumah tangga dan jenayah harta benda melalui insiden rompakan, pecah masuk rumah, dan ragut,” ujar beliau ketika menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM, di sini.

Geshina berkata, pengalaman menjadi mangsa jenayah kekerasan adalah traumatik yang mana ianya mempunyai julat kesan dan tempoh yang berbeza mengikut individu yang mengalaminya.

“Trauma terbahagi kepada dua iaitu trauma fizikal dan trauma psikologi. Trauma fizikal merujuk kepada kecederaan fizikal dan mengubah bentuk badan yang serius manakala trauma psikologi atau trauma emosi adalah sejenis kerosakan jiwa yang berlaku akibat peristiwa traumatik yang boleh melibatkan perubahan psikofizikal yang secara langsung mengganggu kemahiran ketahanan.

“Selain itu, intervensi amat perlu bagi mangsa yang trauma dengan jenayah yang boleh dirumuskan dalam kategori kesihatan psikologi dan mental, memperbaiki perhubungan sosial dan pemerkasaan kendiri sebagai ikhtiar mencegah kejadian yang sama berulang kembali,” ujar beliau lanjut.

Tambah Geshina, hasil kajian mendapati mangsa jenayah terutamanya jenayah kekerasan akan bertindak dalam salah satu dari tiga cara iaitu sentiasa bertindak sebagai mangsa, terlibat dengan jenayah atau mengatasi pengalaman menjadi mangsa jenayah.

“Semasa sokongan psikososial diberikan kepada mangsa oleh ahli profesional kesihatan, terdapat empat (4) fasa sokongan psikososial diberikan iaitu fasa pertama melibatkan penentuan jenis trauma yang dihadapi, fasa kedua pula krisis dan jenis rawatan yang diperlukan, fasa ketiga melibatkan intervensi gabungan tidak langsung dan fasa terakhir ialah intervensi jangka panjang.

“Amat penting untuk mangsa melapor dan mendapatkan hak sebagai mangsa jenayah di samping mendapatkan sokongan psikososial dan kaunseling yang paling tepat bergantung kepada jenis trauma yang dialami demi kelangsungan hidup,” jelasnya lagi.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Khamis 04 Mac 2021.
Jumlah Pengunjung
1956382