RANCANGAN SEMBANG SIHAT: KANSER PAYUDARA, KESAN SEBELUM KESAL

WhatsApp Image 2022 07 09 at 3.57.15 PM

KANSER PAYUDARA KESAN SEBELUM KESAL

KOTA BHARU, KELANTAN, 8 Julai 2022 – Apa yang dapat kita katakan mengenai ‘kesan sebelum kesal’ apabila barah payudara dapat dikesan awal berbanding barah lain? 
Menjawab persoalan tersebut, penyakit barah usus sebagai contohnya  apabila pesakit mengalami simptom seperti mengeluarkan darah semasa membuang najis, tidak lawas membuang najis, hal itu menunjukkan barah atau ketumbuhan tersebut telah berada dalam keadaan yang sudah lewat untuk menerima rawatan. 
 
Berbeza pula dengan barah payudara, simptom lazim bagi barah ini ialah ketulan di payudara dan pesakit mudah untuk mengesannya seawal ketulan sebesar kacang. 
Menurut Pakar Perunding Bedah merangkap Penyelaras Klinikal 'Breast Cancer Awareness and Research' (BestARI), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Zainira Wan Zain, kebolehsembuhan pesakit barah payudara bergantung kepada tahap kanser yang dihidapinya. 
 
"Jika kanser dikesan awal, ketumbuhan mungkin masih lagi kecil dan belum merebak kemana-mana, keboleh sembuhan pesakit daripada penyakit kanser adalah jauh lebih tinggi daripada pesakit yang datang dalam keadaan ketumbuhan yang sudah besar dan telah merebak ke organ-organ lain di dalam badan. 
 
“Jika pesakit datang dalam keadaan penyakit kanser yang sudah merebak ke organ lain, perawat yang akan merawat tidak dapat membantu dalam memberikan rawatan dan hayat pesakit mungkin akan tidak lama," ujarnya semasa ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Radio Kelantan FM. 
 
Tambah Wan Zainira, kaum hawa perlu lebih cakna dengan payudara masing-masing bagi mengesan kanser payudara pada peringkat awal. 
 
"Kita perlu melakukan pemeriksaan jika mempunyai perubahan pada payudara danwanita yang masih kedatangan haid dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan seminggu sebelum atau seminggu selepas kedatangan haid setiap bulan. 
 
"Sekiranya pemeriksaan dijalankan terlalu dekat dengan waktu haid, payudara wanita ketika itu sedang “engorged” dan akan rasa seperti semua kawasan berketul-ketul serta menimbulkan ketidakpastian sama ada ketulan tersebut adalah bahaya atau ketulan biasa," jelasnya lagi. 
 
Wan Zainira berkata, bagi wanita yang sudah putus haid pula dinasihatkan untuk menetapkan tarikh sebulan sekali secara tetap untuk melakukan pemeriksaan terhadap payudara mereka. 
 
“Pemeriksaan boleh dilakukan di hadapan cermin semasa mandi dengan melihat dan memerhati perubahan pada payudara masing-masing. 
 
"Kebanyakan wanita memiliki payudara yang ukurannya tidak sama besar (payudara kanan lebih besar atau lebih kecil daripada yang sebelah kiri). 
 
“Ketidaksamaan saiz kanan dan kiri itu biasanya normal, tetapi jika terdapat perbezaan yang ketara, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut," ulasnya. 
 
Menurut Wan Zainira, pemeriksaan juga boleh dilakukan dengan cara berdiri dengan posisi lengan dibiarkan lurus ke bawah dan perhatikan bentuk, ukuran, permukaan, warna kulit, bentuk puting payudara serta lihat sama ada terdapat perubahan atau tidak sambil memicit perlahan puting sekiranya ada cecair yang keluar daripada puting. 
 
Beliau berkata, kajian menunjukkan wanita yang berumur 50 tahun ke atas lebih ramai mendapat kanser payudara. Namun begitu, wanita muda juga berisiko untuk menghidap kanser payudara. 
 
"Berdasarkan data pesakit Klinik BestARI, pesakit paling muda menghidap kanser payudara adalah berumur 26 tahun serta ramai pesakit dalam kalangan umur 30 tahun dan sedang mengandung menghidap penyakit ini. 
 
“Golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini adalah wanita yang pernah menghidap kanser payudara, mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap kanser payudara dan kanser pangkal rahim," katanya. 
 
Wan Zainira turut menjelaskan bahawa kajian mendapati penghidap kanser payudara adalah wanita yang terdedah kepada tahap estrogen yang tinggi sama ada secara natural atau external. 
 
"Bagi penghidap kanser payudara secara natural mereka biasanya terdiri daripada wanita yang tidak pernah mengandung, melahirkan anak pada usia selepas 30 tahun, tidak menyusukan anak, haid pertama awal iaitu ketika umur kurang 12 tahun dan putus haid lambat iaitu melebihi 55 tahun. 
 
“Bagi kategori external pula, mereka biasanya terdiri daripada wanita yang mengamalkan pengambilan hormon pil perancang dan menerima rawatan terapi hormon gentian,” kata Wan Zainira lagi. 
 
Menurut beliau, sekiranya pesakit datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan tiga (3) serangkai iaitu pemeriksaan klinikal, pemeriksaan imej (mamogram dan ultrasound) serta pengambilan tisu. 
 
"Perawatan kanser payudara bergantung kepada tahap kanser itu dan seperti yang semua tahu, kanser payudara ada empat (4) tahap. 
 
“Dari segi prognosis kajian perubatan, tahap satu tempoh survival untuk lima (5) tahun adalah 98%, tahap dua (2) tempoh hayat dalam lima (5) tahun adalah 93%, dan tahap tiga (3) ialah 72%. 
 
"Apa yang menyedihkan apabila pesakit datang dengan tahap empat (4) kerana ia mencatatkan hanya 28% tempoh hayat hidup pesakit dalam masa lima (5) tahun," ujarnya. 
 
Wan Zainira memberitahu, dari segi rawatan, sekiranya pesakit datang mendapatkan rawatan pada tahap awal, mereka berkemungkinan tidak perlu menjalani pembedahan besar. 
 
"Doktor hanya perlu membuang kawasan yang ada ketulan beserta sedikit tisu di sekelilingnya sahaja. 
 
“Sekiranya pesakit datang pada tahap tiga (3) dan empat (4), rawatan kemoterapi akan diberi bagi mengurangkan risiko penyakit berulang dan selepas kemoterapi awal yang dinamakan 'neoadjuvant chemotherapy' barulah pembedahan ke atas pesakit boleh dilakukan. 
 
“Selain kemoterapi, selepas pesakit melakukan pembedahan, kebanyakan pesakit akan meneruskan rawatan radioterapi di kawasan pembedahan yang telah sembuh untuk memastikan penyakit kanser setempat tidak berulang,” jelasnya. 
 
Wan Zainira turut berpesan agar semua wanita melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payudara dan mereka juga digalakkan hadir secara terus ke Klinik BestARI Hospital USM untuk mendapatkan rawatan awal bagi mencegah kanser yang lebih teruk. 
 
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

Contact Us

Breast Cancer Awareness & Research Unit (BestARi)
Hospital Universiti Sains Malaysia
No. Tel : 09-767 4056
E-mail : breastcenter@usm.my
 
 
BestARi
Breast Cancer Awareness & Research Unit

Links

Quick Links

Medical Records Unit
Department of Pharmacy
Staff Directory System
Department of Safety Zone Hospital USM

 

Internal Links

Main Campus
Health Campus
Engineering Campus
Advanced Medical & Dental Institute

Government Links

Logo MoHE 131x100 Blacklogo soaring upwards and new arrow OUTLINEmsc logo 250x190imagesMQA

Related Links

AVONmakna2CANCER RESEARCHLPPKN

IMR Malaysia

NCSM

440954
  • Last Updated on 22 September 2022, 04:01:51.