USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Oktober 2019 – Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, kempen kesedaran kanser payudara bukan sahaja memberi kesedaran kepada orang awam dan pesakit kanser payudara semata-mata, malah turut menfokuskan kepada orang perseorangan yang terlibat dalam jaringan sistem kesihatan seperti Jururawat, Pegawai Perubatan dan sebagainya.
Di Malaysia, kanser payudara merupakan pembunuh utama bagi kaum wanita dengan kadar kes sebanyak 47.4 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, Breast Cancer Awareness and Research Unit (BestARi) merupakan ‘one stop center’ pertama di Kelantan yang ditubuhkan di USM bagi memberi perkhidmatan kesihatan serta rawatan berkaitan kanser payudara bagi lelaki dan wanita.
“Unit ini telah menganjurkan pelbagai ceramah dan program kesedaran kanser payudara di beberapa daerah di Kelantan serta sangat mengalu-alukan kes ‘walk-in’ dalam kalangan staf khususnya dan orang awam amnya untuk membuat pemeriksaan kanser payudara.
“Dengan adanya program-program seumpama ini, maklumat berkaitan kanser payudara dapat disampaikan kepada masyarakat umum agar lebih berwaspada dengan pembunuh utama wanita kerana mencegah adalah lebih baik dari mengubati,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penutup Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Hospital USM, di sini.
Tambah Sukari, masih ramai wanita yang bimbang untuk menjalani rawatan kanser payudara atau membuang tumor kerana ada segelintir daripada mereka mendapat ugutan dari suami yang masih cetek ilmu berkaitan kanser payudara ini.
“Keputusan untuk menjalani rawatan di hospital mungkin sukar bagi sesetengah individu yang mempercayai rawatan tradisional boleh merawat penyakit mereka dengan lebih baik dan akhirnya datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah tumor itu berada di tahap empat,” jelasnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penaung Pink Ribbon Wellness Foundation (PRWF), Puan Seri Maniseh Adam, Pengerusi BestARi Hospital USM merangkap Pakar Perunding Jabatan Radiologi, Dr. Juhara Haron dan Ketua Penyelia Jururawat Hospital USM, Raudzah Mohd Ariffin.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria